Emas diperdagangkan lebih tinggi pada sesi Asia, tetapi turun dari kenaikan sebelumnya yang menyaksikan logam berharga itu mencecah paras tertinggi empat setengah bulan ketika sesi New York.
Spot emas didagangkan stabil di sekitar harga $1,896 per auns, manakala niaga hadapan emas sedikit susut pada $1,897 per auns pada sesi Asia.
Terdahulu, logam berharga itu telah melonjak tinggi menembusi tembok halangan $1,900 dan mencecah tahap tertinggi sejak awal Januari pada $1,912 sebelum kembali susut.
Penurunan dalam hasil bon AS 10 tahun ke tahap lebih rendah telah menyokong pengukuhan harga emas meskipun matawang US dolar memaparkan kenaikan.
Perbincangan pasaran mengenai tekanan inflasi terus berlanjutan walaupun selepas Federal Reserve (Fed) mengatakan kenaikan inflasi yang tinggi adalah hanya sementara.
Ini menyebabkan daya tarikan terhadap emas terus meningkat kerana sifatnya yang dilihat sebagai lindung nilai kepada inflasi.
Terbaru, Naib Pengerusi Fed untuk Pengawasan, Randal Quarles mengatakan bahawa penting bagi bank pusat AS untuk memulakan perbincangan dalam beberapa bulan akan datang, mengenai rancangan untuk mengurangkan pembelian bonnya.