Walaupun sentimen pasaran dilihat pulih dan dijangka akan menyokong dagangan bagi mata wang komoditi, dolar Australia sebaliknya bergerak lemah pada sesi Asia pagi ini berikutan pelabur yang berwaspada menantikan keputusan mesyuarat polisi bank pusat Australia.
Reserve Bank of Australia (RBA) telah mengekalkan kadar faedah tidak berubah di paras terendah 0.10% untuk mesyuarat polisi monetari kali ketiga tahun ini.
RBA turut mengekalkan sasaran 0.10% untuk hasil bon 3-tahun kerajaan Australia dan parameter program pembelian bon.
Unjuran ekonomi Australia masih lagi goyah namun pemulihan ekonomi dilihat menunjukkan perkembangan yang baik berbanding jangkaan.
Kadar inflasi diramalkan akan kekal berada di bawah paras sasaran 2% untuk beberapa tahun yang akan datang.
Jika keadaan semakin mendesak, RBA menyatakan kesediaan untuk meningkatkan pembelian bon sekiranya diperlukan.
Sehingga sasaran inflasi 2%-3% dicapai, RBA menyatakan bahawa mereka tidak akan meningkatkan kadar faedah.
Situasi tersebut dijangka akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya pada tahun 2024.
Secara keseluruhannya, kenyataan RBA dilihat kekal cenderung bernada dovish dan berkemungkinan akan memberi kesan penurunan nilai buat dolar Australia.
Dolar Australia dilihat tidak begitu memberi reaksi yang ketara pada carta harga susulan keputusan mesyuarat yang telah dijangkakan.
Namun, pelabur perlu memantau juga sentimen pasaran semasa yang turut mempengaruhi dagangan dolar Aussie dalam pasaran.