Ketika pelabur kripto masih berkira-kira sama ada mahu melabur di dalam Dogecoin (DOGE) ataupun tidak kerana kebimbangan jika aset ini sekadar shitcoin, Glauber Contessoto tanpa ragu-ragu membuat pelaburan sebanyak $180,000!
Pada hemat pelabur amatur, ini bukanlah satu keputusan yang mudah. Apatah lagi lelaki berusia 33 tahun ini bukanlah orang berada dan telah menjual semua saham yang dimilikinya termasuk saham Tesla dan Uber sebelum all-in untuk Dogecoin. Malah dia juga tidak teragak-agak membuat pinjaman di aplikasi atas talian, Robinhood.
Ketika Contessoto membeli Dogecoin pada 5 Feb, harganya didagangkan sekitar $4.5 sen.
Apa yang mendorong individu ini untuk membeli DOGE adalah kerana dia selesa dengan komuniti Dogecoin di Reddit selain teruja kerana ia diinspirasikan oleh anjing baka Jepun, shiba inu.
Dia juga mengagumi ikon Dogecoin, Elon Musk, menganggap jutawan tersebut sebagai seorang genius! Tidak keterlaluan juga dia begitu yakin dengan matawang tersebut untuk bullish sekaligus akan menguntungkan dia dan warisannya.
Contessoto mendedahkan dia turut menerima nasihat daripada kenalannya susulan daripada keputusan tersebut: “Ini cuma skim pump dan dump. Nilainya akan menjadi sifar.”
Tanpa disangka, dua bulan kemudian harga dogecoin mula menunjukkan pergerakan positif bermula 15 April. Dogecoin berjaya mencatatkan lonjakan 400% dengan nilai pasaran mencecah $49 bilion.
Ketika itu DOGE didagangkan pada sekitar $45 sen dan pegangan Contessoto di Robinhood merekodkan nilai $1,081,441.29.
Keuntungannya itu dikongsikan di laman Reddit, memberitahu tidak akan menjualnya dalam masa terdekat. Sebaliknya memberitahu: “Sebaik sahaja simpanan ini mencecah $10 juta, saya akan mengeluarkan 10%. Aset ini akan terus berkembang.”
Walaupun selepas daripada momen itu harga DOGE susut, Contessoto memberitahu simpanan DOGEnya masih melebihi sejuta dolar.
Ketika penulisan, DOGE didagangkan pada $0.27, melonjak lebih 1% dalam 24 jam.