Emas diperdagangkan lebih tinggi pada sesi Asia selepas meraih keuntungan daripada kejatuhan hasil perbendaharaan AS 10 tahun dan US dolar susulan kenyataan dovish Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell.
Ketika berucap di hadapan Kongres pada sesi New York, Powell mengatakan inflasi telah meningkat dengan ketara dan kemungkinan ia akan terus menokok dalam beberapa bulan akan datang sebelum kembali menurun.
Susulan itu, bank pusat dikatakan akan terus memberi sokongan yang kuat sehingga pemulihan ekonomi selesai. Pada masa ini, Fed akan memberi perhatian untuk meningkatkan pekerjaan.
Hasil bon AS 10 tahun menjunam lebih rendah susulan kenyataan itu dengan menurun kepada 1.33%, dari tahap 1.42% yang dicapainya selepas data inflasi AS dikeluarkan. Penyusutan ini turut mengheret US dolar untuk mengurangkan keuntungan yang diraih susulan data inflasi AS yang memberangsangkan.
Ini sekali gus telah mendorong harga emas lebih tinggi ke paras ketinggian empat minggu untuk didagangkan mengukuh pada $1,827 per auns pada sesi Asia hari ini. Sementara, niaga hadapan emas pula menguat pada $1,829 per auns.
Harga emas telah menguat sebelum ini susulan bacaan data inflasi AS yang terus menunjukkan peningkatan lebih tinggi pada bulan Jun, menyebabkan pelabur bergegas mencari perlindungan daripada logam berharga itu yang dianggap sebagai lindung nilai inflasi.