Para penggubal dasar Bank Pusat Australia (RBA) memutuskan untuk kekal dengan kadar faedah dan sasaran hasil bon yang tidak berubah pada tahap 0.10% pada mesyuarat polisi edisi Oktober.
Bank pusat itu juga bersetuju untuk meneruskan pembelian bon kerajaan pada kadar $4 bilion setiap minggu sehingga sekurang-kurangnya pertengahan Februari 2022.
Walaupun begitu, tiada reaksi yang ketara dipamerkan oleh dolar Aussie susulan keputusan tersebut memandangkan ia sememangnya telah dijangka pada awal lagi.
Sebaliknya, penyusutan dolar Aussie pada sesi Asia hari ini terkesan oleh peningkatan dolar greenback dan isu Evergrande yang menyebabkan sentimen terus berisiko.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan bank pusat, Gabenor Philip Lowe terus mengulangi bahawa beliau tidak melihat syarat untuk memacu kenaikan kadar faedah akan dapat dipenuhi sebelum 2024.
Seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini, Lowe juga menjangkakan ekonomi akan pulih semula pada suku Disember, seiring dengan peningkatan dalam vaksinasi dan lebih banyak pelonggaran sekatan dilaksanakan.
Walaupun begitu, tekanan harga dan upah masih menjadi risiko buat Australia. Oleh itu, dasar monetari yang akomodatif akan terus dilaksanakan untuk mencapai sasaran bank pusat.