Agensi persekutuan Amerika Syarikat (AS) sedang mengorak langkah lebar dalam mengetatkan lagi perundangan terhadap aset kripto, stablecoin dengan alasan risikonya terhadap ekonomi negara.
Dalam laporan yang difailkan oleh President’s Working Group on Financial Markets pada Isnin ada menekankan pelaksanaan perundangan terhadap stablecoin akan mendorong aset tersebut menjadi pilihan pembayaran efisien, pantas, dan inklusif.
Malah, tidak mustahil juga penggunaan stablecoin sebagai medium pembayaran semakin meluas ekoran daripada impak rangkaian atau hubungan antara stablecoin dengan platform pengguna sedia ada.
Disebabkan itu, penasihat ekonomi menggesa Kongres untuk mengetengahkan pengawasan peraturan dan struktur pasaran yang formal secepat mungkin untuk melindungi dan maklumkan kepada pelabur, penerbit, dan bursa kripto.
Ini juga merangkumi pemantauan yang ketat terhadap mana-mana aktiviti yang melibatkan stablecoin.
Mereka juga mencadangkan untuk Kongres meluluskan undang-undang yang menghadkan penghasilan stablecoin bagi bank-bank yang diinsuranskan. Melalui cara itu, penyelia berupaya untuk memantau ruang industri yang lebih besar.
Stablecoin dipanggil ‘stable’ kerana aset ini bersandarkan kepada aset lain, misalnya dolar AS.
Jelas pengeluar stablecoin, hubungan kedua-dua jenis aset ini dicapai melalui penghasilan token yang sama jumlah dengan aset perbendaharaan negara. Mereka juga jamin pelabur boleh menukar token mereka kepada tunai pada bila-bila masa.
Ini yang membimbangkan penggubal undang-undang kerana kaitan kedua-duanya mungkin akan mengeruhkan krisis ekonomi negara.