Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen telah menolak permintaan Perdana Menteri UK, Boris Johnson untuk merundingkan semula protokol Ireland Utara yang telah menjadi penghalang kepada kedua-dua pihak walaupun perjanjian Brexit sudah dicapai.
“Kesatuan Eropah (EU) akan terus kreatif dan fleksibel dan kerangka protokol. Tetapi kami tidak akan melakukan semula rundingan”, tegasnya setelah bercakap dengan perdana menteri itu pada hari Khamis.
Sumber EU mengatakan bahawa panggilan itu berlangsung sekitar 30 minit, dan Von der Leyen menjelaskan bahawa mereka bercakap atas permintaan Johnson.
Melalui panggilan itu, PM Johnson telah memberitahu bahawa cara protokol itu beroperasi adalah tidak mapan. Penyelesaian tidak dapat dicapai melalui mekanisme protokol sedia ada, dan itulah sebabnya mereka mengemukakan cadangan untuk perubahan yang signifikan terhadapnya.
Beliau mendesak EU untuk melihat usul candangan itu dengan serius dan bekerjasama dengan UK. Terdapat peluang besar untuk mencari penyelesaian praktikal yang wajar untuk kesulitan yang dihadapi rakyat dan perniagaan di Ireland Utara, serta membawa hubungan yang baik antara UK dan EU.
Percubaan UK untuk merundingkan semula telah membuat para penggubal dasar EU kecewa, kerana mereka telah mencadangkan perubahan untuk mengurangkan kesan pada warga Ireland Utara. Penyesuaian lebih lanjut mungkin akan tetap dilakukan, tetapi EU menolak rundingan semula skala penuh.
Penolakan ini memberi tamparan kuat buat PM Johnson yang sebelum ini berulang kali membuat tuntutan palsu bahawa tidak akan ada pemeriksaan di perbatasan antara Britain dan Ireland Utara.