Rangkaian media sosial, Snapchat semalam mendedahkan bahawa mereka telah menyekat Presiden AS Donald Trump secara kekal dari platform tersebut. Untuk pengetahuan semua, akses Trump ke media sosial sebahagian besarnya terputus sejak kumpulan penyokongnya bertindak ganas menyerbu Capitol di Washington DC dalam serangan yang meragut nyawa pada 6 Januari.
Sehubungan dengan itu, syarikat berkenaan khuatir Trump boleh menggunakan akaun Snapchatnya untuk menimbulkan kekacauan menjelang perasmian Joe Biden sebagai presiden AS yang baru.
Setelah serangan di Capitol oleh penyokong Trump, media sosial termasuk Facebook, Twitter, dan YouTube mula melarangnya daripada menggunakan platform mereka.
Walau bagaimanapun, tindakan tersebut telah mencetuskan kemarahan para pembela Trump merangkumi Peguam Negara Texas Ken Paxton yang menuntut agar Amazon, Apple, Facebook, Google dan Twitter menjelaskan mengapa Trump tidak disambut baik di platform mereka.