Harga minyak menjunam lebih 2% pada sesi dagangan Jumaat selepas terkesan oleh kebimbangan terhadap penemuan baru varian Covid-19 yang dikatakan sangat cepat merebak berbanding Delta.
Sejak pembukaan dagangan sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent telah merosot 2.1% kepada $80.50 setong, manakala WTI Amerika Syarikat pula jatuh 2.6% pada $76.35 setong.
Penurunan yang dicatatkan ini seiring dengan kebimbangan terbaru daripada varian Covid-19 yang ditemui di Afrika Selatan akan menjejaskan permintaan bahan bakar global.
UK dan Amerika Syarikat telah bertindak pantas untuk melaksanakan perintah sekatan perjalanan dari dan ke Afrika Selatan bagi membendungnya dari menular lebih luas ke seluruh dunia.
Dalam pada itu, dagangan komoditi hitam turut terkesan dengan amaran OPEC yang mengatakan bahawa tindakan Amerika Syarikat dan beberapa pengguna utama lain untuk mengeluarkan minyak daripada rizab simpanan, boleh menyebabkan lebih minyak mentah meningkat.
Lembaga penasihat OPEC menjangkakan lebihan 400,000 tong sehari dalam pasaran minyak pada bulan Disember dan meramalkan ia akan berkembang kepada 2.3 juta tong pada Januari dan 3.7 juta tong sehari pada Februari jika negara pengguna meneruskan pelepasan tersebut.