Platform pertukaran desentralisasi, Uniswap kini bersiaran di rangkaian Polygon.
Cadangan menempatkan Uniswap v3 di Polygon dikemukakan oleh pengasas bersama Polygon, Mihailo Bjelic dan dipersetujui oleh kira-kira lebih 72 juta pemegang token UNI pada minggu lalu.
Melalui integrasi ini bermakna pengguna Uniswap boleh membuat pertukaran token di Polygon melalui paparan muka (interface) rasmi Uniswap.
Boleh dikatakan ini juga salah satu alternatif untuk pengguna ‘lepaskan diri’ daripada kos transaksi yang tinggi di Ethereum sehingga mencecah lebih $100, lagi-lagi ketika rangkaian itu terlalu sesak.
Uniswap merupakan DEX yang terbesar di dalam pasaran DeFi.
Platform ini telah menyaksikan jumlah dagangan lebih $600 bilion melibatkan platform v2 dan v3 dengan masing-masing mencatatkan lebih $300 bilion bagi sepanjang 2021.
‘Pertembungan’ dua platform ini mendorong lonjakan harga token natif Polygon, MATIC ke paras tertinggi harian, $2.65, menghampiri rekod tertinggi sepanjang masa (ATH), $2.7 pada 18 Mei. Manakala UNI mencatatkan lonjakan ke paras harga $17.98.
Ketika penulisan artikel ini, UNI didagangkan pada $16.38, meningkat hampir 8% dalam 24 jam dan MATIC mencatatkan nilai $2.57, dengan lonjakan hampir 5% untuk tempoh yang sama.