Selepas pamer prestasi kurang memberangsangkan pada minggu ini, US dolar kembali didagangkan meningkat semula selepas butiran minit mesyuarat FOMC yang diteliti menunjukkan Federal Reserve (Fed) komited untuk mengekalkan polisi monetari yang menyokong pemulihan ekonomi Amerika Syarikat (AS).
Namun, Fed tetap memberi amaran untuk berwaspada terhadap risiko berterusan yang didorong oleh faktor pandemik yang akan memberi tekanan terhadap sokongan polisi monetari bank pusat.
Hasil perbendaharaan AS juga kembali pamerkan peningkatan semula menuju ke paras 1.70% selepas susut sehingga ke paras 1.63% semalam.
Data ekonomi Eropah diterbitkan positif pada Rabu memberi isyarat akitiviti perniagaan di zon Eropah berkembang baik dan menyokong pergerakan mata wang Eropah berbanding US dolar.
Sementara Pound Sterling terus mengalami penyusutan ekoran ketidaktentuan di UK berhubung isu vaksin yang membuatkan pelabur berwaspada. Penganalisis juga melihat kemungkinan berlaku aktiviti pengambilan keuntungan (profit-taking) untuk posisi dagangan Pound terdahulu oleh pelabur.
Berhubung isu kesan sampingan darah beku selepas suntikan vaksin AstraZeneca, UK memaklumkan kes tersebut adalah sangat jarang. Berikutan risiko tersebut terhadap golongan bawah 30 tahun, adalah disarankan untuk golongan ini mengambil suntikan vaksin yang berbeza.
Malah, UK telah pun memulakan suntikan vaksin Moderna selepas membuat pembelian 17 juta dos untuk rakyatnya.
Sentimen pasaran yang dinilai berisiko memberi tekanan terhadap dagangan mata wang komoditi sebaliknya kelebihan untuk US dolar sebagai mata wang safe-haven.
Dolar Australia dan dolar New Zealand turut pamerkan penyusutan selepas gagal mengekalkan corak kenaikan sebelum ini berikutan US dolar kembali pamerkan pengukuhan semula.
Dolar Kanada juga susut dipengaruhi oleh kebimbangan gelombang ketiga penularan Covid-19 yang akan memberi kesan buruk terhadap pasaran minyak mentah yang menjadi eksport utama Kanada di samping keputusan perbincangan OPEC yang mendorong penurunan harga emas hitam itu.