US dolar tampaknya meraih sedikit sokongan daripada pelabur pada sesi sebelum ini, menunjukkan mata wang gergasi itu mencatat kenaikan berbanding kebanyakan pesaing utama.
Sementara pasaran Wall Street yang pada mulanya dibuka dengan kukuh dengan menghampiri paras tertinggi sepanjang masa, kembali memaparkan penurunan menyebabkan kebanyakan indeks utama ditutup bercampur.
Peningkatan yang dicatatkan dolar greenback dilihat berterusan pada sesi Asia hari ini, menyaksikan indeks dolar diniagakan meningkat pada sekitar 96.23.
Kenaikan ini memacu mata wang euro untuk bergelut mempertahankan kedudukannya di atas harga 1.1300.
Di tengah ketidakhadiran pemangkin yang jelas, pelabur mula mengalihkan tumpuan kepada spekulasi mengenai Federal Reserve (Fed) AS mungkin akan menaikkan kadar faedah secepatnya pada Mac 2022.
Hasil perbendaharaan AS 10 tahun pula terus bergerak mendatar di sekitar tahap yang sama pada 1.47%.
Meneliti pergerakan pound, mata wang itu dilihat masih mengekalkan momentum pengukuhannya di paras tertinggi terbaru untuk bulan ini setelah disokong oleh berita positif mengenai Brexit.
Kesatuan Eropah (EU) dan UK dilaporkan telah mencapai kesepakatan untuk meningkatkan kuota pekerja Britain daripada 50% kepada 70% dalam kapal nelayan yang akan mula berkuatkuasa pada April 2022.