Ketika pelabur menantikan dengan penuh debaran penerbitan data inflasi Amerika Syarikat, matawang gergasi USD akhirnya menunjukkan peningkatan pada sesi Eropah.
Data harga pengeluar AS yang meningkat dengan kuat pada bulan Oktober, menambah keyakinan pelabur untuk melihat pengukuhan yang sama dalam data Indeks harga pengguna (CPI) yang akan dikeluarkan pada malam ini.
Harga pengguna AS diramalkan akan meningkat 0.6% pada bulan Oktober, dan inflasi teras pula menokok 0.4%. Sementara secara tahunan, inflasi dijangka meningkat 4.3% berbanding sasaran bank pusat 2%.
Turut menjadi tumpuan pelabur pada sesi New York adalah data tuntutan pengangguran AS yang dijangka akan terus menunjukkan pengukuhan dalam pasaran buruh, dengan jangkaan penurunan 257,000 pada minggu lalu.
Ketika penulisan, indeks dolar diniagakan meningkat 94.20 berbanding kebanyakan matawang utama.
Pound sterling pula terus berada dalam tekanan disebabkan ketidakpastian yang membelenggu dalam isu pasca-Brexit yang semakin meningkat, di samping masih terkesan dengan keputusan dovish Bank Pusat England (BOE) baru-baru ini.
Sementara matawang sensitif risiko, dolar Aussie dan kiwi masih didagangkan lemah walaupun bacaan data inflasi China menunjukkan peningkatan yang tidak dijangka pada bulan lalu.
Walaupun inflasi meningkat, tetapi pertumbuhan ekonomi di China masih dilihat lemah dan ini menimbulkan kebimbangan pasaran sekiranya inflasi terus mencatat peningkatan.