Sesi Asia memperlihatkan dagangan dolar greenback sedikit susut selepas mendapat sokongan pada akhir dagangan sesi sebelum ini.
Berita mengenai kes Omicron pertama yang dikesan di Amerika Syarikat (California) telah mendorong pasaran Wall Street terkesan, sekali gus memberi dorongan saat akhir buat greenback.
Walaupun begitu, pada pembukaan sesi Asia, dagangan dolar greenback masih bergerak di sekitar harga yang sama berikutan sentimen pasaran yang bercampur-campur.
Pada satu sisi, US dolar menguat dengan harapan Federal Reserve (Fed) akan mempercepatkan pengurangan pembelian bon yang juga berpotensi untuk naikkan kadar faedah lebih awal dari jangkaan.
Namun, dari sisi lain, mata wang utama lain turut mendapat dukungan daripada kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa vaksin Covid-19 sedia ada masih boleh memberi perlindungan terhadap varian Omicron bagi mencegah penyakit yang teruk.
WHO juga melaporkan bahawa setakat ini, varian baharu tersebut hanya menyebabkan gejala dan penyakit yang lebih ringan.
Ini membuatkan dagangan dalam pasaran mata wang terbatas, membawa indeks dolar berlegar di sekitar harga 96.00 berbanding pesaing utamanya.
Sementara itu, pelabur telah diperlihatkan dengan data pekerjaan ADP sektor swasta yang menunjukkan bacaan yang lebih baik dari dijangkakan pada Oktober, tetapi merosot dari bacaan sebelumnya.
Meneliti pergerakan mata wang Eropah, euro diniagakan stabil pada 1.1330, manakala pound pula berlegar pada 1.3300 berbanding USD.