Pergerakan agresif dipamerkan pasaran pada permulaan dagangan awal April, di mana US dolar yang pada mulanya meningkat pada awal sesi Asia, kembali susut rendah ketika pembukaan sesi Eropah.
Ini didorong oleh kemerosotan dalam penanda aras hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang jatuh ke sekitar paras 1.710%.
Penyusutan ini telah memberi peluang untuk kebanyakan matawang utama untuk mencatatkan kenaikan.
Bagaimanapun, kenaikan yang dicatatkan tidak ketara memandangkan pelabur masih berpegang kepada harapan untuk pemulihan ekonomi AS yang lebih cepat setelah disokong oleh langkah rangsangan fiskal dan pelancaran vaksin.
Ketika penulisan, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama diniagakan susut di sekitar harga 93.15.
Walaupun mendapat sokongan untuk meningkat susulan penyusutan dolar greenback, namun, dolar Aussie kekal didagangkan di sekitar paras terendah sejak Disember dan dolar kiwi pula sejak November.
Sementara matawang euro pula diniagakan di sekitar harga yang sama pada 1.17300 berbanding US dolar meskipun memaparkan kenaikan pada awal sesi Eropah.
Matawang pound pula kekal stabil setelah mencatatkan prestasi terbaiknya pada suku pertama tahun ini berbanding euro. Penganalisis mengatakan kenaikan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pelancaran vaksin yang cepat di UK berbanding Kesatuan Eropah (EU).