Menjelang penghujung minggu, pelabur berdepan dengan risiko baru daripada munculnya varian baru virus Covid-19 yang mungkin akan membantutkan pemulihan ekonomi global.
Varian B.1.1.529 pertama kali dikesan di Afrika Selatan, dilaporkan lebih kuat dan vaksin Covid-19 yang sedia ada mungkin kurang berkesan terhadapnya. Hal ini telah mendorong UK untuk segera memperkenalkan sekatan perjalanan di Afrika Selatan.
Menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK, varian tersebut mempunyai ‘spike protein‘ yang berbeza secara dramatik dengan yang terdapat dalam coronavirus asal, di mana ia juga dikatakan mempunyai dua kali ganda bilangan varian daripada Delta.
Susulan itu, matawang sensitif risiko, dolar Aussie dan kiwi terus melanjutkan penurunan ke paras terendah tiga bulan dengan masing-masing didagangkan di sekitar 0.7160 dan 0.6830 berbanding dolar greenback pada sesi Asia hari ini.
Kebimbangan ini pastinya turut menggentarkan keyakinan pasaran untuk pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat dan jangkaan pengetatan dasar monetari oleh Federal Reserve (Fed).
Buktinya, pergerakan US dolar dilihat agak terhad pada sesi dagangan hari ini, tetapi masih kukuh kerana sokongannya sebagai matawang safe-haven dan harapan kenaikan kadar faedah lebih cepat.
Selain itu, dagangan greenback turut terbatas susulan aktiviti pengambilan untung oleh pelabur menjelang hujung minggu dan cuti Hari Kesyukuran AS.
Ketika penulisan, indeks dolar didagangkan sedikit susut pada 96.73 berbanding kebanyakan matawang utama, tetapi kekal di tahap tertinggi 16 bulan.