Harga minyak didagangkan lebih rendah pada hari Khamis, terkesan oleh ketidakpastian dalam pasaran selepas OPEC+ membatalkan mesyuarat tanpa mencapai kesepakatan dalam pengeluaran.
Pada pembukaan sesi Eropah, penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan susut pada harga $73.15 setong, manakala WTI Amerika Syarikat pula merosot pada $71.90 setong.
Harga minyak mentah Brent telah jatuh hhampir 5% sejak penutupan pada Isnin, setelah perbincangan OPEC+ untuk menetapkan pengeluaran pada bulan Ogos musnah susulan penolakan tuntutan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk meningkatkan outputnya.
Hal ini menyebabkan pasaran bimbang bahawa perselisihan ini akan membawa kepada perpecahan dalam perjanjian OPEC+ dan pengeluar bertindak meningkatkan pengeluaran di luar perjanjian.
Sementara itu, bekalan minyak mentah di Amerika Syarikat terus menunjukkan pengurangan dengan menurun sebanyak 8 juta tong pada minggu lalu, menurut data yang dikeluarakan Institut Petroleum Amerika (API).
Namun begitu, harga minyak gagal memberi reaksi terhadap bacaan yang memberangsangkan ini dan diperdagangkan lebih rendah pada sesi dagangan hari ini.