Perdana Menteri UK, Boris Johnson pada hari ini, dijangka akan mengesahkan rancangannya untuk menghapuskan hampir semua sekatan Covid-19 di England mulai 19 Julai.
Bagaimanapun, menjelang sidang media yang akan diadakan pada hari ini, Boris Johnson telah meminta rakyatnya untuk berhati-hati.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Ahad, PM Johnson mengatakan bahawa pandemik global belum berakhir.
“Berhati-hati sangat penting, dan semua rakyat mestilah mengambil tanggungjawab supaya kemajuan yang diraih untuk memerangi Covid sebelum ini, tidak terjejas, dan memastikan institusi kesihatan NHS dilindungi” kata Johnson.
Beliau memberi amaran bahawa kes Covid-19 akan terus meningkat ketika sekatan dibuka semula, yang mana angka kes harian di UK terkini telah mencecah sekitar 30,000 sehari.
Sidang media hari ini juga bakal menyaksikan data terbaru mengenai situasi Covid-19, dengan Downing Street mengatakan data semasa menunjukkan kadar kemasukan ke hospital, penyakit serius dan kematian akibat Covid akan berterusan, tetapi berada di tahap lebih rendah berbanding sebelum program vaksinasi bermula.
Terdahulu, PM Johnson telah mengemukakan cadangan untuk menarik semula peraturan mengenai pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial, serta arahan untuk bekerja dari rumah, yang disebutkan sebagai ‘jalan menuju kebebasan’.