Beberapa pegawai tertinggi White House, termasuk penasihat keselamatan negara Robert O’Brien dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan susulan pencerobohan pro-Trump di Capitol Hill, Amerika Syarikat pada Rabu, lapor CNN.
O’Brien sebelum ini mempertahankan Naib Presiden, Mike Pence yang kini sedang memimpin sesi pengesahan pemenang pilihan raya presiden 2020, dengan mengatakan Pence menunjukkan keberaniannya walaupun berdepan tekanan dari Presiden Donald Trump.
Ini susulan tweet Trump yang memberi amaran kepada pemimpin Republik untuk tidak mengesahkan kemenangan Joe Biden dan memberi tekanan langsung kepada Pence dengan menggesa beliau untuk melakukan apa yang harus dilakukannya.
Dalam pada itu, timbalan penasihat keselamatan negara Matt Pottinger dan timbalan ketua staf Chris Liddell juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengundurkan diri.
Sementara itu, ketua kakitangan Melania Trump, Stephanie Grisham dan timbalan setiausaha media Sarah Matthews telah mengemukakan perletakan jawatannya pada petang Rabu yang berkuat kuasa serta-merta susulan protes di Capitol.
Walaupun masih berbaki kurang 2 minggu lagi untuk pentadbiran Trump meninggalkan White House pada 20 Januari, namun tingkah laku presiden itu yang masih menafikan keputusan pilihan raya nampaknya membuatkan mereka mengambil keputusan untuk berundur lebih awal.