Berikut merupakan sebahagian data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Data PMI Pembuatan & Perkhidmatan Eropah (Isnin 5.00 Petang): Menuju ke minggu-minggu penghujung bulan, bacaan data-data sektor ekonomi akan menjadi tumpuan. Di Eropah, sektor pembuatan dan perkhidmatan di Jerman sebagai ekonomi terbesar akan dinilai yang akan turut mempengaruhi pergerakan mata wang Euro.
Data PMI Pembuatan & Perkhidmatan UK (Isnin 5.30 Petang): Seterusnya akan menyusul bacaan data sektor ekonomi di UK pula dengan jangkaan tiada perubahan ketara pada angka bulan sebelumnya.
Data PMI Pembuatan & Perkhidmatan AS (Selasa 10.45 Malam): Bacaan bagi data sektor ekonomi di Amerika Syarikat dijangka meningkat dan akan terus menyokong langkah pengetatan dasar oleh bank pusat.
Mesyuarat Polisi Bank Pusat New Zealand (Rabu 9.00 Pagi): Beralih ke fasa pengetatan dasar oleh kebanyakan bank pusat, Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) dijangka untuk meningkatkan kadar faedah daripada 0.75% kepada 1.00%. Pelabur mungkin akan menjangkakan pengukuhan dolar New Zealand dari awal minggu lagi.
Data Keluaran Dalam Negara Kasar AS (Khamis 9.30 Malam): Bacaan kedua bagi pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat untuk suku terakhir 2021 yang lalu diunjur meningkat berbanding bacaan awal pada bulan lalu. Isyarat pertumbuhan yang memberangsangkan berpotensi untuk terus menyuntik kekuatan terhadap dagangan USD minggu ini.
Indeks Perbelanjaan Pengguna AS (Jumaat 9.30 Malam): Bacaan indeks harga PCE di Amerika Syarikat yang turut menjadi petunjuk terhadap inflasi diramalkan tidak berubah untuk bulan Januari.