Sesi pasaran Asia menyaksikan logam kuning emas diperdagangkan sedikit berubah di tengah-tengah pendirian hawkish Federal Reserve (Fed) susulan mesyuarat polisi terbarunya.
Ketika penulisan, emas terus berlegar pada sekitar paras terendah 2 setengah tahun pada $1,672 per auns, dengan niaga hadapan emas pula didagangkan pada $1,680 per auns.
Keputusan Fed untuk meningkatkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas telah mendorong pengukuhan US dolar ke paras ketinggian baharu 20 tahun dan hasil bon AS lebih tinggi.
Ini sekali gus mengheret dagangan emas lebih rendah di tengah-tengah jangkaan Fed akan melanjutkan kenaikan kadar dengan isyarat ia tidak akan turun sehingga 2024 untuk memerangi inflasi.
Walaupun emas dianggap sebagai lindung nilai inflasi oleh pelabur, namun logam kuning itu cenderung untuk menurun berikutan langkah kenaikan kadar faedah oleh bank pusat.
Emas juga kehilangan kilauannya sebagai penyimpan nilai ketika ketidaktentuan ekonomi berikutan kekuatan ekonomi relatif Amerika Syarikat dan pendirian agresif Fed terhadap inflasi menaikkan USD dengan mengorbankan aset selamat yang lain.
Selain itu, bank-bank pusat lain seperti Bank of England (BOE) dan Swiss National Bank (SNB) juga telah menaikkan kadar faedah minggu ini.