US dolar sedikit berubah pada sesi dagangan Asia selepas menyaksikan dua penerbitan penting dari Amerika Syarikat iaitu data inflasi pengeluar dan laporan minit mesyuarat FOMC.
Peningkatan tidak dijangka dalam indeks harga pengeluar (PPI) pada September mengejutkan pelabur yang melihatkan lonjakan 0.4% daripada penurunan 0.2% yang disemak semula pada bulan sebelumnya.
Bagaimanapun, secara asas tahunan, inflasi pengeluar meningkat 8.5%, sedikit menurun daripada peningkatan 8.7% yang dicatatkan pada Ogos.
Impak pada pasaran dilihat kurang ketara, melihatkan US dolar kekal didagangkan mendatar dengan pelabur menantikan bacaan inflasi pengguna yang akan dikeluarkan pada sesi New York.
Indeks harga pengguna (CPI) tahunan AS diramal akan menunjukkan peningkatan 8.1% pada bulan lalu daripada 8.3% yang direkodkan pada Ogos.
Selain itu, pelabur juga telah diperlihatkan dengan keluaran minit FOMC yang menunjukkan Federal Reserve (Fed) bersetuju mengekalkan kadar faedah yang tinggi untuk tempoh lebih lama.
Meneliti perkembangan mata wang utama, euro didagangkan mendatar seiring dengan pergerakan US dolar manakala pound mencatat peningkatan sederhana susulan khabar angin mengenai pembelian bon.
Bank of England (BOE) dikatakan telah memberi isyarat secara persendirian kepada pemberi pinjaman bahawa ia bersedia untuk memperpanjangkan pembelian bonnya.