Menjadi tumpuan pelabur menjelang sesi New York adalah ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell yang mungkin akan memberi impak kepada pergerakan US dolar.
Indeks dolar kini kembali meningkat, lebih tinggi 0.5% berbanding kebanyakan mata wang utama.
Kebangkitan ini seiring dengan peningkatan semula yang dipaparkan oleh hasil bon AS 10 tahun lebih 1%, membawa penanda aras ke sekitar tahap 3.23%.
Pengerusi Jerome Powell dijadualkan berucap pada jam 8.45 malam (waktu Malaysia) pada Persidangan Perdana mengenai Peranan Antarabangsa Dolar AS di Washington.
Pelabur akan meneliti kenyataan Powell mengenai tindakan terbaharu bank pusat untuk menaikkan kadar faedahnya kepada 1.75%.
Sementara itu, dagangan mata wang yen terus melemah di paras terendah dua dekad selepas bank pusat Jepun (BOJ) mengumumkan akan mengekalkan kadar faedahnya tidak berubah.
Meneliti pergerakan mata wang Eropah, euro mengurangkan sedikit keuntungan yang diraih dari penyusutan USD dengan didagangkan pada sekitar harga 1.0500 pada sesi Eropah.
Mata wang pound pula masih mempertahankan sebahagian besar keuntungan yang diperoleh susulan keputusan kenaikan kadar faedah oeh bank pusat England (BOE).
Di sisi lain, mata wang sensitif risiko dolar Aussie dan New Zealand sedikit menyusut, memperlihatkan masing-masing didagangkan di sekitar harga 0.7000 dan 0.63300 berbanding USD.