Logam berharga emas didagangkan stabil dengan mengekalkan keuntungan sederhana yang dicatatkan pada sesi terdahulu.
Sesi Asia melihatkan dagangan emas sedikit berubah pada sekitar harga $1,751 per auns, manakala niaga hadapan emas pula susut pada $1,749 per auns.
Komoditi kuning itu sebelum ini susut ketara pada awal minggu berikutan kebangkitan semula US dolar yang dipacu oleh situasi Covid-19 yang membimbangkan di China.
Setakat ini, pasaran masih mengikuti perkembangan semasa di China walaupun ketegangan sedikit mereda selepas angka kes Covid-19 terbaru yang dikeluarkan pada Selasa berkurangan.
Dalam pada itu, pelabur turut memberi tumpuan kepada ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell pada awal pagi Khamis sebagai petunjuk baharu terhadap penetapan kadar faedah akan datang.
Namun demikian, pelabur terlebih dahulu akan diperlihatkan dengan data pekerjaan ADP sektor swasta dan anggaran awal untuk keluaran dalam negara kasar AS (KDNK) untuk suku ketiga pada sesi New York.