Negeri yang mempunyai populasi terbesar di Australia, New South Wales (NSW) dijangka akan mengumumkan pelaksanaan semula sekatan Covid-19 dalam masa terdekat.
Terbaharu, NSW merekodkan 70,000 kes coronavirus dalam tempoh dua hari dan peningkatan ketara jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital.
Acara-acara besar akan dinilai sebagai risiko oleh Pejabat Kesihatan NSW dan ditangguhkan jika perlu. Kapasiti di kafe dan restoran akan dihadkan, kelab malam ditutup dan membatalkan pembedahan yang tidak mendesak.
Walaupun begitu, sekatan ini akan dipanggil sebagai langkah keselamatan dan bukannya penutupan (lockdown).
Langkah-langkah itu akan ditandatangani oleh jawatankuasa pemulihan ekonomi COVID kerajaan pada pagi Jumaat. Keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa pada pagi Khamis.
Meneliti kepada pergerakan dolar Aussie, mata wang itu terus didagangkan lemah pada paras terendah dua minggu susulan laporan ini, di samping turut terkesan dengan nilai USD yang kuat.
Pengembalian semula sekatan ini dikhuatiri akan menangguhkan keputusan Bank Pusat Australia (RBA) untuk mengurangkan program pembelian bonnya pada bulan Februari kelak.