Logam kuning emas berundur dari puncak tertinggi 6 bulan selepas terkesan oleh kebangkitan dalam dagangan US dolar dan hasil bon AS yang lebih tinggi.
Emas didagangkan pada sekitar harga $1,806 per auns ketika sesi Asia selepas susut lebih rendah pada sesi sebelum ini ke paras $1,797 per auns.
US dolar meraih kekuatan untuk meningkat pada sesi New York seiring dengan hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang menokok ke paras tertinggi 6 minggu.
Penganalisis turut melihat penurunan emas sebagai pengambilan untung oleh pasaran setelah memacu lonjakan logam kuning itu sebelum ini.
Terdahulu, logam berharga itu membuka langkah besar untuk melonjak tinggi ke paras $1,833 per auns pada Selasa.
Bagaimanapun, pelabur berwaspada dengan pergerakan tidak menentu pasaran menjelang penutup dagangan untuk tahun 2022.
Emas telah raih keuntungan $200 selepas jatuh ke paras terendah lebih 2 tahun pada akhir September, berikutan jangkaan mengenai kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan daripada Federal Reserve mengurangkan daya tarikan dolar.