Dagangan emas gagal mengekalkan pengukuhan yang diraihnya pada awal dagangan 2022, dengan menjunam lebih rendah disebabkan lonjakan dolar greenback dan hasil perbendaharaan AS 10 tahun.
Emas yang pada mulanya menyentuh harga $1,830 pada awal dagangan, kembali merosot dengan ketara ke paras $1,798 per auns pada sesi New York.
Logam berharga itu kemudiannya sedikit meningkat untuk didagangkan di sekitar $1,806 per auns pada sesi Asia hari ini.
Hasil perbendaharaan AS 10 tahun melonjak tinggi ke tahap 1.64%, sekali gus merangsang kenaikan dolar greenback untuk meningkat sama dan membenam dagangan kebanyakan mata wang utama lebih rendah.
Peningkatan ini didorong oleh keyakinan pelabur bahawa Federal Reserve (Fed) akan terus berada di landasan untuk menaikkan kadar faedah pada tahun 2022 seperti dijangkakan pada mesyuarat FOMC yang lepas.
Sementara itu, lonjakan kes Covid-19 disebabkan varian Omicron telah menyebabkan penangguhan pembukaan sekolah dan kebanyakan syarikat menggalakkan pekerja untuk bekerja dari rumah.
Namun, keengganan kerajaan untuk melaksanakan semula sekatan Covid-19 menyebabkan dagangan emas gagal mendapat keuntungan.