Pengukuhan US dolar terbatas pada pembukaan sesi Eropah, memperlihatkan raja mata wang itu mencatat penyusutan berbanding kebanyakan mata wang utama.
Walaupun begitu, sebahagian besar daripada keuntungan yang diraih dolar greenback susulan kenyataan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell sebelum ini masih dikekalkan.
Ketika penulisan, indeks dolar sedikit merosot pada sekitar harga 98.65 berbanding pesaing utamanya.
Berucap di Persidangan Persatuan Kebangsaan untuk Ekonomi Perniagaan pada Isnin, Powell telah menyatakan kesediaan bank pusat untuk meningkatkan kadar faedah dengan lebih agresif dengan kenaikan lebih 25 mata asas pada mesyuarat akan datang.
Hasil bon AS 10 tahun yang melonjak tinggi susulan kenyataan tersebut, masih mengekalkan pengukuhannya di paras tertinggi sejak Mei 2019 pada sekitar tahap 2.3%.
Antara mata wang yang mendapat keuntungan berikutan penyusutan US dolar adalah pound sterling, menyaksikannya didagangkan di paras ketinggian satu minggu. Sementara euro pula turut meningkat dengan diniagakan pada sekitar harga 1.100 berbanding USD.
Mata wang berkaitan komoditi, dolar Aussie dan kiwi juga didagangkan lebih tinggi memandangkan pada sesi sebelum ini juga kedua-dua mata wang itu tidak terkesan dengan pengukuhan US dolar.
Dolar loonie turut menguat di paras tertinggi satu bulan, disokong oleh lonjakan harga minyak mentah dunia berikutan kebimbangan bahawa Kesatuan Eropah (EU) mungkin akan menyekat import minyak Rusia.
Bagaimanapun, US dolar kekal didagangkan lebih kukuh berbanding yen yang membawa mata wang ninja itu terus melemah di paras terendah sejak Februari 2016.