US dolar dilihat gagal menyambung pengukuhan susulan daripada bacaan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat memberangsangkan, menyaksikannya didagangkan suram berbanding pesaing utama pada awal minggu.
Pergerakan yang dipamerkan US dolar mungkin dipengaruhi oleh kewaspadaan pelabur menjelang pengeluaran data inflasi pengguna AS pada hari Rabu yang dijangkakan mencatat penurunan pada Julai.
Terdahulu, angka lebih kukuh yang dicatatkan dalam laporan pekerjaan NFP telah mengembalikan jangkaan pelabur untuk melihat Federal Reserve (Fed) menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas.
Namun, dengan jangkaan menurun dalam inflasi AS, ia menyebabkan pelabur membataskan pegangan terhadap US dolar.
Hasil perbendaharaan AS 10 tahun juga menyaksikan penurunan selepas melonjak tinggi pada Jumaat lalu susulan bacaan NFP yang lebih kukuh.
Ini sekali gus memberi peluang untuk kebanyakan mata wang utama lain untuk meningkat, terutamanya dagangan mata wang komoditi dolar Aussie, Kanada dan New Zealand.
Sementara mata wang euro dan pound pula hanya mencatat sedikit peningkatan, memperlihatkannya kekal berlegar di sekitar paras terendah berbanding dolar greenback.
Walaupun menyusut berbanding kebanyakan mata wang utama, tetapi US dolar masih mengekalkan pengukuhannya berbanding dagangan yen.
Pada hari Selasa, tiada data yang akan diterbitkan dan ekoran daripada itu dolar Amerika mungkin terus bergerak mendatar di tengah-tengah ketiadaan pemangkin utama untuk merangsang pergerakan raja mata wang itu.