Mark Mobius, pelabur veteran dan co-founder Mobius Capital Partners menjangkakan ibu segala mata wang kripto Bitcoin (BTC) bakal menjunam lebih 40% menembusi zon harga $10,000 susulan aset digital tersebut telah memecah paras sokongan teknikal $18,000 dan $17,000.
Mobius turut mengungkap bahawa ramalan yang dibuatnya mungkin akan berlaku pada tahun 2023 atas sebab tindakan Federal Reserve (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang bertindak menaikkan kadar faedah dan ketatkan dasar monetari secara agresif.
Sungguhpun terdapat beberapa syarikat exchanger kripto yang menawarkan kadar faedah 5% untuk melakukan sebarang deposit kripto, kebanyakan syarikat tersebut dilaporkan telah mengalami kejatuhan berikutan krisis FTX.
Rentetan itu, para pelabur akan mula berasa bimbang untuk memegang sebarang aset digital tersebut susulan mereka telah menyaksikan sejumlah individu yang mengalami kerugian ketara.
Ulas Mobius lagi, Fed yang meningkatkan sebanyak 40% bekalan wang dalam USD sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut menjadi punca pasaran kripto mengalami kejatuhan secara besar-besaran.
Fed berusaha melaksanakan pelonggaran kuantitatif sejak beberapa tahun lalu bagi menyokong pasaran kripto termasuk saham teknologi daripada meneruskan pergerakan menurun.
Selain itu juga, bank-bank pusat yang telah bertindak mengetatkan dasar monetarinya pada tahun ini dan tidak dilupakan juga menaikkan kadar faedah secara mendadak telah mengakibatkan pasaran kripto semakin berdarah.
Umumnya, pasaran kripto akan lebih parah lagi jika jangkaan Mobius tersebut menjadi kenyataan ekoran kripto mungkin menyaksikan lebih AS$1.3 trilion dihapuskan daripada nilainya tahun ini.