China mengintai peluang untuk mencuri keuntungan di sebalik had harga minyak yang bakal dikenakan negara-negara Barat ke atas Rusia.
Ini susulan daripada laporan bahawa China telah menghentikan sementara pembelian minyak Rusia ketika Amerika Syarikat dan sekutunya semakin hampir untuk memuktamadkan had harga.
Difahamkan beberapa kargo minyak mentah ESPO Rusia untuk Disember masih tidak terjual, dengan penjual dan pembeli China teragak-agak untuk menutup tawaran sebelum tahap had harga yang tepat diketahui.
Had harga ditetapkan akan dilaksanakan bersama sekatan Kesatuan Eropah (EU) ke atas minyak Rusia pada 5 Disember, di mana pihak yang mematuhi langkah itu mendapat akses kepada perkhidmatan insurans, perbankan dan perkapalan daripada blok itu.
Langkah itu dibuat untuk mengurangkan pendapatan Kremlin yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh eksport minyak, dan pada masa yang sama memastikan minyak mentah dari pengeluar OPEC+ terus mengalir bagi mengelakkan kejutan bekalan global.
Bagaimanapun, Rusia menegaskan bahawa ia tidak akan menjual kepada negara yang melaksanakan had tersebut. Sebaliknya, Moscow akan mengubah hala bekalan kepada rakan kongsi berorientasikan pasaran atau mengurangkan pengeluaran.
Meneliti pergerakan komoditi hitam, niaga hadapan minyak Brent kekal suram pada sekitar harga $88 setong manakala dagangan WTI Amerika Syarikat berlegar pada $81 setong.