Amerika Syarikat dan China akan mengadakan rundingan peringkat tinggi pertama secara bersemuka mengenai perang Ukraine-Rusia pada hari Isnin, menurut laporan Bloomberg.
Pertemuan yang akan melibatkan penasihat Keselamatan Negara, Jake Sullivan dan diplomat tertinggi China, anggota Biro Politik Parti Komunis Yang Jiechi dilaporkan diadakan di Rom.
Topik perbincangan dijangka akan merangkumi kesan terhadap keselamatan serantau dan global daripada serangan Rusia ke atas Ukraine.
Penasihat utama Presiden Joe Biden telah berusaha untuk meningkatkan tekanan ke atas China supaya mengenakan sekatan ekonomi terhadap Rusia seperti mana yang dilakukan oleh AS dan sekutunya.
Pada hari yang sama, Sullivan juga dilaporkan akan bertemu dengan penasihat diplomatik Itali, Luigi Mattiolo untuk berbincang mengenai menyelaraskan tindak balas antarabangsa terhadap perang.
Kali terakhir Sullivan dan Yang bertemu adalah di Switzerland pada Oktober, di mana mereka telah membincangkan perihal topik kepentingan bersama termasuk kebimbangan terhadap pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang dan Hong Kong serta pertikaian mengenai Taiwan dan Laut China Selatan.