Kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi global dan jangkaan kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Federal Reserve (Fed) terus memacu raja mata wang US dolar ke paras tertinggi terbaharu 20 tahun.
Setelah menyaksikan data inflasi Amerika Syarikat pada Jumaat, pelabur kini meletakkan jangkaan untuk peningkatan kadar yang lebih ketara dengan kenaikan sebanyak 75 mata asas paa mesyuarat polisi FOMC minggu ini.
Berbanding sekumpulan mata wang utama, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan lebih tinggi pada 105.20 pada sesi Asia.
Jangkaan ini turut mendorong hasil bon AS 10 tahun untuk meningkat lebih tinggi sehingga mencecah tahap 3.35% iaitu paras paling tinggi sejak April 2011.
Prospek menyuramkan terhadap ekonomi global pula mengheret kebanyakan mata wang utama lebih rendah, memperlihatkan euro diperdagangkan pada paras terendah satu bulan.
Sekiranya penurunan berterusan dalam dagangan euro, ia berpotensi untuk jatuh ke tahap terlemah sejak tahun 2002 yang pernah disentuh pada bulan April.
Mata wang pound pula tersungkur ke paras paling lemah dua tahun, dengan tumpuan pasaran kini terarah kepada data pekerjaan UK pada sesi Eropah.
Dolar Aussie dan New Zealand pula semakin hampir untuk menyentuh tahap terendah hampir dua tahun apabila kekhuatiran pada pertumbuhan global membelenggu sentimen pasaran.
Safe-haven yen juga melemah berikutan hasil bon AS yang kuat selepas ia mengurangkan kerugian yang dicatatkan pada awal minggu, menyaksikannya kekal didagangkan di paras terendah 20 tahun.