Emas kembali stabil setelah mencatat kemerosotan pada awal minggu yang didorong jatuh oleh kenyataan bernada hawkish pembuat dasar Federal Reserve (Fed).
Sesi Asia memperlihatkan dagangan emas sedikit meningkat pada $1,746 per auns dari kejatuhan lebih rendah yang dicatatkan sesi sebelumnya.
Logam kuning itu pada mulanya melonjak ke paras ketinggian satu minggu pada sesi Eropah (Isnin), mendapat sedikit sokongan sebagai safe-haven berikutan ketidaktentuan Covid-19 di China.
Protes besar-besaran tercetus di beberapa bandar utama yang menggesa Presiden Xi Jinping untuk turun daripada jawatannya atas kegagalan mengawal Covid-19.
Bagaimanapun, harga emas kembali merosot susulan kebangkitan US dolar semula yang didorong oleh kenyataan Presiden Fed St Louis, James Bullard yang mengatakan bank pusat perlu meneruskan kenaikan kadar sehingga 2023.
Selain itu, Presiden Fed New York John Williams mengatakan inflasi masih tinggi dan ia akan mengambil masa untuk turun, menegaskan bahawa bank pusat perlu lebih berusaha dalam menurunkan tekanan harga.
Tumpuan pelabur kini disasarkan kepada ucapan Pengerusi Jerome Powell pada hari Khamis yang dijangka akan memberi petunjuk mengenai hala tuju seterusnya dasar monetari Fed.