Emas cuba mencari pengukuhan pada sesi Asia selepas logam berharga itu menyusut pada penghujung dagangan minggu lalu berikutan kebangkitan US dolar dan hasil bon AS yang lebih tinggi.
Ketika penulisan, spot emas diniagakan sedikit meningkat pada sekitar harga $1,820 per auns, manakala niaga hadapan emas pula positif pada $1,819 per auns.
Logam kuning itu kehilangan momentum menjelang akhir sesi New York pada Jumaat, ketika US dolar kembali mendapat sokongan untuk meningkat semula yang menyusuli lonjakan hasil bon 10 tahun ke tahap 1.80%.
Sementara itu di China, bank pusat mengejutkan pasaran dengan menurunkan kadar faedahnya buat pertama kali sejak April 2020. Kadar kemudahan pinjaman jangka masa sederhana diturunkan sebanyak 10 mata asas kepada 2.85% daripada 2.95%.
Secara teknikalnya, harga emas didagangkan mendatar dengan terus berlegar di sekitar bawah paras rintangan $1,830 per auns yang masih gagal ditembusi sejak minggu lalu.
Inflasi global yang tinggi menyokong emas untuk kekal didagangkan kukuh walaupun kebanyakan bank pusat utama telah mula memberi petunjuk untuk mengetatkan dasar monetari bagi mengekang inflasi.