Emas bergerak mendatar selepas mencatat kenaikan sederhana pada sesi sebelumnya, menandakan kewaspadaan pelabur sementara menantikan penerbitan laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat.
Pada sesi Asia, spot emas diniagakan berlegar pada sekitar harga $1,933 per auns, susut sedikit dari paras $1,949 menjelang penutup dagangan akhir Mac terdahulu.
Dagangan emas sebelum ini meningkat selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mengancam untuk menghentikan kontrak yang membekalkan satu pertiga gasnya kepada Eropah melainkan mereka membayarnya menggunakan mata wang rubel.
Ini sedikit sebanyak menimbulkan risiko dalam pasaran ketika Rusia dan Ukraine berusaha untuk mencapai penyelesaian damai dalam rundingan yang akan berlangsung semula hari ini.
Logam berharga itu telah mencatatkan keuntungan suku tahunan sekitar 5.8%, kenaikan paling tinggi sejak tiga bulan sehingga September 2020 setelah konflik Rusia-Ukraine meningkatkan daya tarikan terhadap safe-haven emas.
Walaupun begitu, pengukuhannya terbatas susulan jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan menaikkan kadar faedah lebih agresif untuk memerangi inflasi yang tinggi di AS.
Namun, penganalisis mencadangkan bahawa jangkaan agresif pasaran mungkin telah berkurang memandangkan pelabur telah meletakkan harapan lebih awal sebelum pelaksanaan dilakukan.