Menteri Kewangan El Salvador, Alejandro Zelaya menolak kebimbangan bahawa kejatuhan mendadak dalam nilai Bitcoin (BTC) akan menjejaskan keadaan fiskal negara itu.
Pada sidang akhbar yang berlangsung pada Isnin, Zelaya dengan tenang mengatakan bahawa risiko penurunan harga bitcoin terhadap fiskal negara itu adalah sangat minimum setelah ada yang mengatakan kebimbangan mengenainya.
Selain itu, Zelaya turut menyebut mengenai anggaran daripada Deutsche Welles sebelum ini yang menganggarkan bahawa portfolio bitcoin negara itu telah kehilangan kira-kira $40 juta dalam nilai.
Menurut beliau, kehilangan empat puluh juta dolar tersebut tidak mewakili 0.5% daripada belanjawan am negara, jadi ia tidak menjadi kebimbangan mereka.
Pada waktu penulisan BTC didagangkan lemah pada sekitar harga $21,900 setelah susut lebih 50% sehingga mencecah paras terendah sejak Disember 2020.
Kerajaan El Salvador telah membeli 2,301 unit BTC sejak ia mengumumkan untuk mengiktirafkan mata wang kripto terbesar di dunia itu sebagai tender sah pada September lalu.
Presiden Nayib Bukele telah menjadikan kebiasaan ‘buy the dip’ untuk menambah pegangan aset kripto itu. Setakat Mei tahun ini, rizab bitcoin negara itu berjumlah kira-kira $71.4 juta.