‘Ada masalah ke Taiwan dengan Malaysia ni?’
Tiada angin mahupun ribut tiba-tiba Taiwan menggugurkan sejumlah negara-negara termasuk Malaysia daripada kategori kemasukan visa-free* bermula minggu depan.
*kebenaran kepada indidvidu untuk melawat sesuatu negara dan melalui imigresen yang juga dipanggil ‘kebenaran mendarat’.
Menerusi laman web Kementerian Hal Ehwal Luar Taiwan, Malaysia tersenarai bersama Singapura, Israel, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Brunei, Filipina, Russia, Chile, Republik Dominican, dan Nicaragua.
Sungguhpun begitu ia bersifat ‘penggantungan sementara’ selepas wakil pejabat Taipei di Singapura mengatakan bahawa terdapat ‘salah faham’ terhadap khabar berita tersebut.
Menurut sumber dari Biro Hal Ehwal Konsular Taiwan sendiri, mereka akan menyambung semula kemasukan visa-free bagi pelawat dari beberapa negara mulai 12 September.
Mengulas lebih lanjut, perkara ini asalnya dibuat bagi memudahkan kawalan yang dilaksanakan untuk membendung penularan Covid-19 memandangkan kebanyakan negara seluruh dunia mulai membuka semula sempadan.
Hal ini telah diambil kira selepas kerajaan Taiwan menetapkan kemasukan pelancong seramai 50,000 sahaja seminggu.
Akan tetapi biro tersebut tidak menyatakan secara jelas negara mana yang akan menerima semula manfaat visa-free tersebut.