Harga emas terus berlegar di sekitar harga yang sama dengan pergerakan dibataskan oleh laporan minit FOMC yang memberi indikasi mengenai pengetatan lebih agresif pada mesyuarat polisi seterusnya.
Menurut minit mesyuarat yang diterbitkan pada awal pagi Khamis, para penggubal Fed melihat kenaikan kadar yang tinggi adalah sesuai dilaksanakan pada mesyuarat akan datang, terutamanya jika tekanan inflasi meningkat.
Penggubal dasar Fed juga bersetuju untuk mengurangkan kunci kira-kira (balance sheet) sebanyak $95 juta sebulan yang merangkumi $60 bilion pegangan Perbendaharaannya dan $35 bilion sekuriti bersandarkan gadai janji dalam tempoh tiga bulan.
Isyarat hawkish yang dipaparkan dalam minit mesyuarat ini terus mendorong pengukuhan US dolar untuk meningkat ke paras tertinggi dua tahun berbanding pesaing utama.
Hal ini sekali gus mengekang pergerakan emas dari mencatatkan keuntungan di tengah ketidaktentuan geopolitik Ukraine-Rusia yang dikhuatiri turut memberi impak kepada ekonomi Eropah disebabkan sekatan ke atas Moscow oleh negara Barat.
Amerika Syarikat telah mengumumkan sekatan baharu ke atas Rusia dan Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan akan menyusul walaupun pengharaman terhadap import gas asli dari Moscow mungkin tidak terjadi.
Pada sesi Asia, spot emas diniagakan pada sekitar harga $1,922 per auns, manakala niaga hadapan emas pula sedikit susut pada $1,921 per auns.