Bank of Japan (BOJ) menjadi salah satu tumpuan utama pelabur pada minggu ini yang bakal menyaksikan penetapan dasar monetari selanjutnya daripada bank pusat itu pada Khamis.
Dengan dagangan yen yang kekal berlegar di sekitar paras terlemah sejak 1998, pihak berkuasa telah memberi indikasi untuk mengambil tindakan dalam membendung penurunan mata wang itu.
Ekoran daripada itu, penganalisis melihat ia mungkin akan mula menawarkan isyarat untuk beralih daripada dasar monetarinya yang sangat longgar pada mesyuarat minggu ini.
Meskipun begitu, kadar faedah dijangka kekal tidak berubah pada -0.10% dan sasaran hasil bon kerajaan Jepun 10 tahun sekitar 0%.
Perbezaan dasar yang semakin meluas dengan Federal Reserve (Fed) telah menyebabkan yen melemah dengan ketara, menjunam kira-kira 25% setakat ini pada 2022.
Minggu lalu, Nikkei melaporkan bank pusat itu telah menjalankan semakan kadar dalam persediaan jelas untuk campur tangan mata wang.
Semakan tersebut dikatakan melibatkan penelitian tentang arah aliran dalam pasaran pertukaran asing dan dilihat secara meluas sebagai pencetus kepada campur tangan fizikal untuk mempertahankan yen.
Data inflasi yang diterbitkan pada Selasa menunjukkan tekanan harga di negara itu masih terkawal walaupun telah meningkat ke paras tertinggi terbaharu 8 tahun kepada 2.8% pada Ogos.