Penantian pelabur untuk data inflasi Amerika Syarikat meletakkan dagangan logam kuning emas dalam berjaga-jaga selepas ia jatuh ke paras terendah terbaharu tiga bulan pada sesi Asia.
Ketika penulisan, spot emas diniagakan suram pada $1,836 per auns, paras terlemah sejak Februari. Sementara niaga hadapan emas pula turun pada $1,835 per auns.
Kadar inflasi tahunan AS diramalkan sedikit berkurang pada bulan April tetapi kekal di paras tertinggi 40 tahun dengan peningkatan 8.1% daripada 8.5% yang dicatatkan sebelumnya.
Sekiranya ia menunjukkan penurunan, ini pastinya akan memberi kesan buat pergerakan emas yang biasanya dianggap sebagai lindung nilai kepada inflasi oleh pelabur.
Federal Reserve (Fed) bagaimanapun dilihat akan terus komited dalam melaksanakan pengetatan yang agresif meskipun kadar inflasi AS mula menunjukkan tanda-tanda untuk mereda.
Pengerusi Jerome Powell sebeum ini menolak kemungkinan bahawa bank pusat itu akan melaksanakan kenaikan 75 mata asas dalam kadar faedahnya, tetapi memberi jaminan bahawa mereka akan melakukan apa yang diperlukan untuk memerangi inflasi.