‘Nak ke, tak nak ke, terpaksa setuju jugak lah kalau tak nanti tiada iPhone 15.’
Syarikat pembuat iPhone, Apple Inc terpaksa bergantung kepada firma pembuat cip Qualcomm Inc terhadap produk-produknya sehingga tahun 2023.
Menurut sumber, Qualcomm merancang untuk membekalkan hanya 20% sahaja daripada bahagian modem 5G bagi produk iPhone tahun depan memandangkan Apple dikatakan akan menggunakan cip buatan mereka sendiri.
Namun, berita terbaru mengatakan atas masalah kepanasan pada cip buatan Apple maka syarikat terpaksa bergantung dengan bekalan komponen dari Qualcomm untuk sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun depan.
Perkara tersebut diumumkan oleh Qualcomm menerusi satu kenyataan ketika mengemas kini unjuran dalam laporan pendapatan suku seterusnya mereka.
Sejak penyelesaian di mahkamah pada 2019 lalu, Apple telah bersetuju untuk menggunakan komponen dari firma tersebut terhadap produknya sebelum bertindak untuk mengeluarkan cip buatan sendiri setahun kemudian.
Penglibatan bersama Apple tersebut telah menyumbang sebahagian daripada hasil kepada firma, dan Qualcomm meramalkan akan terus menerima kelebihan tersebut sehingga tahun fiskal 2025 pembuat iPhone itu.
Dalam pada itu, pihak Apple masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai penggunaan berterusan komponen dari Qualcomm tersebut.
Setakat penulisan ini saham Apple menyusut 3.73% pada $145.03 sementara Qualcomm merosot 4.12% pada $112.50 selepas komen hawish Presiden Federal Reserve (Fed) berkenaan prospek kenaikan kadar faedah seterusnya.