Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden telah bertemu dengan pemimpin negara ‘Quad’ di Tokyo pada Isnin, sebagai salah satu pertemuan paling penting dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang akan mempengaruhi geopolitik dan keselamatan rantau Indo-Pasifik.
Quadrilateral Security Dialogue (QSD) atau lebih dikenali sebagai Quad, adalah keselamatan strategik antara Australia, India, Jepun dan Amerika Syarikat yang dikekalkan melalui perbincangan antara negara anggota.
Susulan daripada pertemuan tersebut, Amerika telah mengumumkan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) dengan rakan kongsi Asia termasuk Australia, Jepun dan Korea Selatan dalam usaha meningkatkan profil ekonominya dan melawan China di Asia.
Ia merupakan pelan luas yang direka untuk membantu mengembangkan ‘kepimpinan ekonomi’ AS di rantau Indo-Pasifik.
Kumpulan itu mahu menetapkan peraturan antarabangsa mengenai ekonomi digital, rantaian bekalan, penyahkarbonan dan peraturan yang dikenakan ke atas pekerja.
Presiden Joe Biden berkata menangani inflasi adalah keutamaan dan rangka kerja ini direka untuk membantu mengurangkan kos dengan menjadikan rantaian bekalan lebih berdaya tahan dalam jangka panjang.
Yang penting, IPEF bukanlah perjanjian perdagangan bebas. Biden menghadapi tekanan politik dari kiri dan kanan di Washington untuk mengelakkan perjanjian perdagangan bebas.
Ia juga bukan pakatan keselamatan dan berasingan daripada kumpulan pertahanan Quad yang merangkumi AS, Jepun, India dan Australia, kata Penasihat Keselamatan Negaras AS Jake Sullivan.