Dolar Amerika mendaki ke paras ketinggian terbaharu 20 tahun ketika penjualan panik dalam pasaran ekuiti dan kripto berterusan ekoran jangkaan pengetatan monetari besar-besaran oleh kebanyakan bank pusat utama.
Para penggubal dasar Bank Pusat Eropah (ECB) terus memberi isyarat untuk menaikkan kadar faedah bulan Julai, manakala Timbalan Gabenor Bank Pusat Kanada (ECB) Toni Gravelle mencadangkan bahawa mereka perlu meningkatkan kadar melebihi paras neutral.
Sementara Timbalan Gabenor Bank Pusat England (BOE), Dave Ramsden mengakui bahawa inflasi tidak turun secepat yang diramalkan, sekali gus menyerlahkan lagi keperluan untuk lebih banyak kenaikan kadar.
Namun, disebabkan Federal Reserve (Fed) lebih ke hadapan daripada bank pusat lain yang mendorong dagangan raja mata wang US dolar terus lebih kuat berbanding kebanyakan mata wang utama.
Fed telah menaikkan kadar faedah 50 mata asas pada pertemuan Mei, dan berjanji untuk sekurang-kurangnya 2 atau 3 lagi kenaikan yang sama tahun ini serta mengurangkan kunci kira-kiranya.
Data indeks harga pengeluar (PPI) AS yang diterbitkan pada sesi sebelum ini menunjukkan tekanan inflasi di negara itu kekal lebih tinggi meskipun mencatatkan sedikit pengurangan pada April.
Berikutan ketiadaan data ekonomi utama yang bakal diterbitkan pada hari ini, US dolar dijangka akan meneruskan pengukuhan menuju dagangan penghujung minggu.
Bagaimanapun, pasaran tetap perlu berhati-hati sekiranya terdapat aktiviti pengambilan untung oleh pelabur setelah mendorong USD ke paras tertinggi dua dekad.