Dagangan komoditi hitam meneruskan kenaikan lebih tinggi setelah menyaksikan penurunan dalam bekalan minyak mentah di hab penyimpanan utama Amerika Syarikat, memberi petanda kepada pasaran minyak yang terus mengetat.
Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) pada mulanya melaporkan peningkatan dalam bekalan minyak mentah AS pada minggu lepas sebanyak 2 juta tong berbanding jangkaan pengurangan 5.1 juta tong.
Bagaimanapun setelah diteliti lebih lanjut, bekalan dalam pasaran tetap mengetat apabila stok minyak mentah di hab Cushing dilaporkan jatuh ke paras terendah sejak awal Mac, manakala inventori petrol susut paling rendah dalam tempoh lapan tahun.
Penggunaan bahan api semakin meningkat walaupun harga runcit petrol menghampiri rekod $5 segelen, dengan purata empat minggu untuk permintaan bahan api motor meningkat kepada 9 juta tong sehari buat kali pertama tahun ini berikutan cuti Hari Peringatan pada akhir bulan lalu.
Peningkatan margin penapisan Asia untuk diesel mencecah rekod baharu pada hari Selasa, menyerlahkan lagi kesempitan dalam bekalan minyak mentah dan produk minyak global.
Pada sesi Asia, penanda aras utama minyak mentah didagangkan bercampur-campur, memperlihatkan niaga hadapan Brent lebih kukuh pada $123 setong. Sementara dagangan WTI Amerika Syarikat pula sedikit susut pada $122 setong.