Logam kuning emas merosot ke paras terendah satu minggu pada sesi Asia ketika pelabur menantikan dengan penuh debaran keputusan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed).
Bank pusat AS secara meluas dijangka menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat polisi FOMC untuk mengekang inflasi yang melambung tinggi.
Jangkaan tersebut membawa hasil perbendaharaan AS 10 tahun untuk mempertahankan pengukuhannya di paras tertinggi lebih dua tahun menyebabkan dagangan emas terus suram.
Ketika penulisan, emas diniagakan suram pada sekitar harga $1,918 per auns, manakala niaga hadapan emas pula berlegar pada $1,920 per auns.
Harga emas telah mencapai rekod tertinggi pada awal minggu lalu dengan meningkat sehingga $2,070 per auns disebabkan ketidaktentuan geopolitik Ukraine-Rusia dan ekonomi global.
Namun, ia kembali menjunam dengan ketara apabila kenaikan inflasi yang didorong oleh lonjakan harga komoditi mendorong bank pusat memberi isyarat kesediaan untuk mengetatkan dasar monetari lebih awal.
Dalam pada itu, kenyataan Presiden Rusia, Vladimir Putin bahawa Ukraine tidak serius untuk mendapatkan penyelesaian diplomatik dalam rundingan damainya malangnya gagal merangsang pengukuhan emas.