Emas didagangkan pada sekitar paras terendah dua minggu setelah melalui sesi dagangan yang tidak menentu ketika sesi New York.
Logam berharga itu pada mulanya meningkat tinggi pada sesi Eropah sehingga ke awal sesi New York, di mana ia menyentuh harga $1,833 per auns susulan penurunan dalam hasil bon AS 10 tahun.
Ia turut mendapat sokongan daripada bacaan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat yang menunjukkan penguncupan lebih dalam sebanyak 1.6% berbanding anggaran awal untuk penurunan 1.5% pada suku pertama.
Bagaimanapun, keuntungan tersebut kembali terpadam selepas Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell menyatakan komitmennya untuk meneruskan kenaikan kadar faedah bagi menangani inflasi walaupun perlu merisikokan ekonomi AS.
Ketika sesi Asia, logam kuning emas didagangkan berlegar pada sekitar harga $1,820 per auns.
Emas, yang dianggap sebagai lindung nilai terhadap inflasi, biasanya mendapat manfaat semasa ketidaktentuan ekonomi. Namun, ia cenderung untuk merosot sekiranya bank pusat menaikkan kadar faedah.
Harga emas kini berada di landasan untuk penurunan bulanan ketiga berturut-turut dengan kejatuhan kira-kira 6% pada suku ini, yang paling teruk sejak suku pertama tahun 2021.