Bandar Zhengzhou yang menempatkan kilang terbesar iPhone, Foxconn akan menarik semula sekatan susulan protes yang menggemparkan China pada hujung minggu.
Perubahan itu berkuat kuasa pada hari ini (30 November), menurut pengumuman kerajaan tempatan yang disiarkan di WeChat.
Menurut pengumuman tersebut, tiada jangkitan baharu dicatatkan dalam tempoh lima hari berturut-turut dan status bandar itu dikurangkan kepada zon berisiko rendah.
Aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi semula, namun penduduk masih perlu terus mengikuti protokol kesihatan sedia ada.
Pengumuman tersebut dibuat beberapa jam selepas pegawai China berkata mereka akan mengelakkan sekatan ketat setelah protes meletus di bandar-bandar seluruh negara terhadap dasar sifar Covid-19.
Langkah penutupan di Zhengzhou berlaku di tengah-tengah penularan varian Omicron yang meningkat menyebabkan pekerja di kilang pembuat iPhone itu terkurung.
Tidak tahan dengan langkah kawalan yang ketat, ia menyebabkan ratusan pekerja itu mengamuk dan melarikan diri daripada kilang tersebut.
Protes itu dilihat akan memberi kesan kepada pengeluaran iPhone Apple, di mana ia mungkin bakal menyebabkan kekurangan pengeluaran hampir enam juta iPhone Pro tahun ini.