‘Makin teruk industri teknologi ni, FAANG hilang tarikan ke?’
Amazon.com Inc menjadi syarikat awam pertama dunia alami kerugian nilai pasaran sebanyak $1 trilion.
Difahamkan saham Amazon jatuh 4.3% semalam, seterusnya menolak turun nilai pasaran pada $879 bilion daripada paras tertinggi $1.88 trilion semasa Julai 2021.
Digariskan bahawa lonjakan inflasi termasuk pengetatan dasar monetari yang agresif dan keputusan laporan pendapatan korporat suku ke-3 yang lemah telah menjadi faktor utama kepada penjualan saham syarikat oleh pelabur.
Umumnya, gergasi peruncitan atas talian tersebut bergelut dengan perubahan corak perbelanjaan pengguna selepas pandemik dan menyaksikan sahamnya susut kira-kira 50% setakat ini.
Ekoran itu, Amazon telah menurunkan unjuran hasil pertumbuhan syarikat untuk suku mendatang dengan pengguna dijangka mengurangkan perbelanjaan berdasarkan situasi ketidaktentuan ekonomi kini.
Dalam pada itu, Amazon bukan satu-satunya syarikat teknologi yang mengalami kerugian nilai pasaran dengan Microsoft Corp turut mengalami penyusutan nilai pasaran sebanyak $889 bilion dari puncak November 2021.
Secara keseluruhannya, gergasi teknologi Amerika Syarikat setakat tahun ini telah mengalami penyusutan hasil sebanyak $4 trilion.
Pada sisi berbeza, penyusutan nilai saham Amazon turut memberi kesan kepada pengasasnya iaitu Jeff Bezos apabila nilai kekayaan turun dari $109 bilion kepada $83 bilion.