Reaksi dagangan minyak tanpa dijangka lebih baik berbanding pasaran yang lain selepas bacaan inflasi Amerika Syarikat yang kuat telah mencetuskan penjualan semua aset berisiko.
Walaupun menyusut, tetapi penurunan dicatatkan oleh dagangan komoditi hitam itu dilihat agak terhad, menyaksikan kedua-dua penanda aras minyak mentah masih didagangkan di sekitar harga yang sama.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan stabil pada $93 setong setelah kehilangan sekitar 1% pada sesi sebelumnya, manakala dagangan WTI Amerika Syarikat pula diniagakan sekitar harga $87 setong susulan penyusutan 0.4% pada Selasa.
Apa yang menyebabkan pasaran minyak lebih berdaya tahan?
Ini semua disebabkan ramalan terbaharu oleh OPEC terhadap permintaan minyak mentah yang memberi harapan buat pasaran komoditi hitam untuk kekal positif.
OPEC berpegang pada ramalannya untuk pertumbuhan permintaan minyak global pada 2022 dan 2023, mengatakan ekonomi maju akan kekal berdaya tahap walaupun berdepan masalah seperti inflasi yang meningkat.
Bagaimanapun, bacaan inflasi yang lebih kuat daripada dijangkakan turut membebankan pasaran itu yang telah meningkatkan lagi jangkaan pelabur untuk Federal Reserve (Fed) melanjutkan pengetatan dalam dasar monetarinya.